Tangkapan PATI oleh ESSCOM dalam Operasi Bersepadu Siri 2/2024 di daerah Tawau

TAWAU – Seramai 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada 187 individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Siri 2 di daerah Tawau, semalam.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor B Sanjos dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan di sekitar kawasan Jeti Awam Tawau dan Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Apas berjaya menahan beberapa PATI atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imgiresen 1959/63.

“Sebanyak 103 buah kenderaan turut diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 41 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seramai 151 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat dalam operasi ini.

“Objektif utama operasi dijalankan adalah untuk memastikan keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain mengekang penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, dan tidak bercukai serta menyekat kemasukan PATI,” katanya.

Tambahnya, kejayaan operasi ini merupakan usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM dan selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi mengekang pencerobohan asing.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESS Zone diminta untuk menghubungi Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here