Kelihatan seekor gajah di sebalik pokok-pokok. Foto Sahabat Anak Tenggaroh

JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar serta Taman Negara (Perhilitan) dan Pejabat Perhilitan Mersing akan terus menjalankan kawalan dan pemantauan di kawasan gajah liar mengamuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenggaroh Lima, Mersing, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi menangkap gajah juga sudah dimulakan serta-merta bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

“Saya menggesa orang ramai untuk tidak mendekati hidupan liar dan sentiasa berhati-hati.

“Segera melaporkan sebarang aktiviti hidupan liar yang membahayakan dan memberi ancaman kepada penduduk kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Portal ini semalam melaporkan seorang tukang kebun maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang gajah liar di sekolah tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Sharif Shai Sharif Mondoi, siasatan mendapati kejadian berlaku berhampiran hutan simpan SK Felda Tenggaroh Lima.

“Dua pekerja kontrak pembersihan bertindak menghalau seekor gajah liar daripada mendekati kawasan sekolah. Bagaimanapun mereka diserang gajah liar tersebut,” ujar Sharif Shai.

Semenatara itu, Tian Soon merakamkan tahziah kepada mangsa serangan gajah liar tersebut.

Katanya, menurut laporan awal kejadian berlaku sekitar pukul 11 pagi dan pasukan Perhilitan Mersing telah bertindak segera.

Beliau memberitahu, Perhilitan tiba di lokasi pada pukul 12 tengah hari dan pemantauan awal menggunakan dron mendapati seekor gajah jantan telah meninggalkan kawasan kejadian.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa telah masuk ke kawasan hutan belukar di belakang sekolah dan mendekati gajah tersebut sebelum insiden berlaku.

“Mangsa telah dibantu oleh beberapa individu berhampiran dan dibawa ke klinik bagi mendapatkan rawatan,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here