Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin bercakap kepada wartawan semasa sidang media ketika hadir pada sesi perbincangan penduduk Kg Sungai Baru di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengerusi Portfolio Wilayah Persekutuan bagi Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin menegaskan tanah Kampung Sungai Baru merupakan tanah milik sah penduduk Melayu yang tidak wajar diganggu oleh mana-mana pihak termasuk kapitalis yang rakus.

Menurutnya, tanah berkenaan adalah tanah bergeran yang mempunyai pemilik sah bukan tanah pajakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kita sudah dengar sendiri taklimat daripada penduduk tadi dan tanah di sini bergeran serta mempunyai pemilik yang sah. Oleh itu, PN akan membangkitkan isu ini di Parlimen untuk memperjuangkan hak penduduk di sini agar tidak dirampas mana-mana pihak kapitalis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sidang perbincangan penduduk Kampung Sungai Baru di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan telah merancang untuk mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan semula melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Namun sebahagian penduduk membantah tindakan itu kerana mendakwa nilai pampasan yang diberikan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

Difahamkan para penduduk telah menolak projek pembangunan kerana status tanah itu adalah milik individu dan dikategorikan sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS).

Tanah MAS adalah jauh lebih istimewa daripada  tanah Rizab Melayu kerana hanya orang Melayu boleh memiliki dan tinggal di atas tanah tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membenarkan penangguhan sementara terhadap pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru setelah mereka memfailkan semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah mereka pada 25 Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata, kerajaan bersedia untuk mengadakan rundingan semula dengan pemilik hartanah yang terlibat, namun belum ada penyelesaian konkrit dicapai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here