Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Karen Kasturi James umum tanding Ketua Cabang Seputeh.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Karen Kasturi James hari ini mengumumkan pencalonannya bagi jawatan Ketua Cabang Seputeh pada Pemilihan PKR bagi penggal 2025–2028.

Karen berkata, pencalonannya bukan semata-mata berkisar soal jawatan, sebaliknya merupakan komitmen untuk memperjuangkan suara rakyat, memperkukuh kekuatan akar umbi dan memastikan agenda reformasi parti diteruskan secara mampan.

Beliau yang berpengalaman lebih 10 tahun sebagai juruaudit profesional berkata, prinsip ketelusan dan akauntabiliti akan menjadi asas kepimpinannya sekiranya diberikan mandat oleh ahli cabang.

Jelasnya, setiap keputusan dalam pentadbiran cabang perlu dibuat secara telus, selaras dengan nilai-nilai Malaysia Madani yang memperjuangkan integriti dan kesejahteraan rakyat.

Karen turut berkongsi pengalamannya sebagai pemimpin masyarakat dan aktivis, terutamanya dalam memperjuangkan isu-isu melibatkan kebajikan, pendidikan, keselamatan wanita dan kanak-kanak.

Karen pernah berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang mana beliau terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dasar perpaduan nasional dan pembangunan komuniti majmuk.

“Saya percaya gabungan pengalaman saya dalam bidang profesional dan korporat serta pendedahan dalam pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melengkapkan saya untuk memimpin Cabang Seputeh dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Karen, antara fokus utama kepimpinannya adalah untuk memastikan suara ahli akar umbi diangkat sebagai nadi utama dalam setiap keputusan cabang.

Beliau juga mahu membentuk barisan kepimpinan yang berintegriti dan bertanggungjawab serta menjadikan Cabang Seputeh sebagai pusat khidmat masyarakat yang aktif dan dekat dengan rakyat.

Pada masa sama, beliau mahu menyantuni suara wanita, anak muda, golongan rentan termasuk ibu tunggal, warga emas dan orang upaya.

“Menara kekuatan parti adalah pada tangan-tangan yang bekerja dan hati-hati yang ikhlas.

“Saya menyeru kepada semua ahli untuk memberi kepercayaan dan sokongan agar kita bersama-sama mampu membawa perubahan yang signifikan demi masa depan Seputeh dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Pemilihan bagi Wilayah Persekutuan akan berlangsung pada 19 April ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here