MELAKA – Bersempena dengan tiga acara gergasi pelancongan tahun ini dan depan, kerajaan negeri Melaka akan melancarkan versi Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 pada akhir Disember ini bagi merancakkan lagi kedatangan pelancong.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelancaran pada 31 Disember itu dibuat susulan TMM 2025 sebelum ini yang dilanjutkan sehingga 2026.
Menurut beliau, lanjutan itu bersempena Melaka dipilih bagi tiga acara besar pelancongan iaitu sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD), Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Ab Rauf meninjau ruang dalam Taman Tema Snow World di Melaka Mall, Melaka, hari ini.
“Kita akan didatangi para delegasi seluruh dunia sebab itu Melaka akan memanjangkan lagi kempen TMM dengan melancarkan TMM 2.0 pada 31 Disember ini.
“Ia akan menjadi Tahun Melawat Melaka versi baharu dan satu langkah yang tepat memandangkan tiga acara besar tersebut akan berlangsung di Melaka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran VM2026,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron.
Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, lokasi pelancaran TMM 2.0 itu masih dalam perancangan dan akan diumumkan kelak namun akan dipenuhi dengan pelbagai program dan acara untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke negeri ini. – MalaysiaGazette