Logo Jabatan Pendaftaran Negara

KUALA LUMPUR – Demi mendapat habuan lumayan, terdapat wanita yang sanggup ‘menumpangkan’ nama mereka di dalam dokumen pengesahan kelahiran palsu sebagai ibu kandung kepada bayi tanpa dokumen pengenalan diri.

Mereka mendaftarkan kelahiran bayi terbabit dengan mengisi pada borang permohonan untuk kategori ibu tunggal walaupun tiada sebarang hubungan biologi dengan bayi terbabit.

Taktik itu didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Op Tumpang 2.0 bersama Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan 10 individu di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang dan Melaka Selasa lepas.

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata, imbuhan RM200 hingga RM3,000 diterima oleh wanita berkenaan bagi setiap permohonan kelahiran dan dalam beberapa kes, mereka mendapat bayaran tetap sekiranya kegiatan itu dilakukan secara berulang.

“Siasatan mendapati nama wanita terlibat dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi dan tindakan itu dilakukan atas dorongan ganjaran yang ditawarkan oleh ejen atau pihak ketiga termasuk sindiket.

“Sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada pemaklum (kelahiran) kemudian diserah kepada ejen untuk dipasarkan ke pasaran gelap,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Badrul Hisham berkata, terdapat lelaki yang turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana menggunakan nama mereka sebagai bapa kandung untuk mendaftar kelahiran bayi yang diperoleh daripada pihak ketiga seperti bayi luar nikah, anak tidak berdokumen atau warga asing.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memperoleh sijil kelahiran bertaraf warganegara kepada bayi terbabit, seterusnya bagi mendapatkan MyKad supaya dapat mengakses kemudahan warganegara seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Ini dilakukan sebagai jalan singkat dan tidak melalui proses sah seperti permohonan pengangkatan dan permohonan kewarganegaraan,” katanya.

Badrul Hisham berkata, hasil soal siasat juga mendapati wujud jaringan ejen yang mencari individu untuk menumpangkan nama sebagai ibu atau bapa kepada bayi dan menguruskan segala dokumen sokongan palsu atau memanipulasi dokumen seperti surat perubatan serta pengesahan kelahiran palsu.

Beliau berkata, sindiket terbabit juga mengenakan bayaran tertentu kepada keluarga angkat atau pihak yang ingin mendapatkan kanak-kanak lengkap pakej dokumen pengenalan diri rasmi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya.

Beliau berkata, JPN tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjalankan urusan membabitkan dokumentasi diri, sijil lahir warganegara dan kad pengenalan.

“Individu atau keluarga yang terkait dengan isu pemerolehan sijil lahir tidak teratur diminta tampil di mana-mana pejabat JPN dan pihaknya akan membantu memastikan pemilikan dokumen anak jagaan dapat dikeluarkan secara teratur berdasarkan peraturan ditetapkan.

“JPN sentiasa komited menangani dan membanteras sindiket pengeluaran sijil kelahiran dan akan melaksanakan operasi penguatkuasaaan secara berterusan bagi menangani isu pendaftaran kelahiran secara tidak teratur,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here