Home Sukan Depay, Morgan Schneiderlin boleh tinggalkan Manchester United

Depay, Morgan Schneiderlin boleh tinggalkan Manchester United

Dua bintang Manchester United, Memphis Depay dan Morgan Schneiderlin kini bukan lagi pilihan Jose Mourinho apabila mereka diberi kata dua mengenai masa depan masing-masing.

Bagaimanapun, ia tidak berlaku kepada Bastian Schweinsteiger yang tidak tersenarai dalam skuad utama Jose United sejak awal musim.

Pengurus the Red Devils itu berkata, dia sedia mendengar tawaran terbaik untuk pemain sayap dan pemain tengah tersebut menjelang tempoh perpindahan Januari depan.

Bagaimanapun, Mourinho mahu mengekalkan bekas pemain Bayern Munich di Old Trafford.

Sebelum ini United dan Mourinho dikritik hebat dengan sikap dan layanan buruk yang diberikan terhadap pemain legenda Jerman yang mengalami kecederaan itu.

Kini Schweinsteiger sudah bersedia dan kembali ke prestasi sebenar untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Crystal Palace malam ini.

Mourinho berkata, dia tidak akan menghalang Depay dan Schneiderlin untuk meninggalkan Theatre of Dreams.

“Saya sentiasa bersedia mendengar tawaran untuk setiap pemain, tetapi sebelum ini saya lebih peka tentang pendirian pemain itu sendiri.

“Jadi setiap pemain yang mengetuk pintu pejabat saya dan menyatakan ketidakpuasan dan mahu meninggalkan kelab, saya tidak akan menghalang sekiranya tawaran baik hadir untuk mereka termasuk dari pasukan besar,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Depay dan Schneiderlin akan meninggalkan Old Trafford. – Agensi