Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan syarat saksi dalam penamaan waris caruman mulai 1 Januari 2017.

Sinchew Daily melaporkan, ia bertujuan menggalakkan orang ramai menamakan waris memandangkan sebanyak 73 peratus pencarum belum menamakan waris masing-masing.

Dengan langkah baharu yang diperkenalkan, pencarum tidak lagi memerlukan saksi berumur 18 tahun ke atas ketika menamakan waris.

Pencarum sebaliknya hanya perlu bertandang ke pejabat KWSP dan menamakan seorang atau lebih banyak waris.

Pencarum bagaimanapun perlu membawa salinan dokumen pengenalan diri milik individu yang akan dinamakan sebagai waris.

Selain itu, pencarum tidak dibenarkan menamakan organisasi dan persatuan termasuk pertubuhan kebajikan sebagai waris caruman mereka.

Untuk mengelakkan penipuan, pencarum mesti bertandang ke pejabat KWSP untuk tujuan penamaan waris dan tidak boleh menamakan wakil untuk urusan tersebut.

Pencarum juga boleh menukarkan nama waris dengan mengisi borang berkaitan.

Sekiranya seorang daripada waris yang dinamakan meninggal dunia, ia tidak akan menjejaskan bahagian untuk waris lain yang dinamakan pencarum.

Pencarum bagaimanapun digesa mengemas kini pembahagian antara waris-waris jika terdapat salah seorang waris yang meninggal dunia.