Sebuah pesawat tentera, Il-18 yang membawa 32 pegawai dan tujuh anak kapal terhempas di Republik Sakha (Yakutia), Rusia, menurut sumber penguatkuasaan undang-undang kepada agensi berita Rusia, TASS.

“Sebuah pesawat Ilyushin Il-18 yang berlepas dari Lapangan Terbang Koltsovo di bandar Yekaterinburg pada hari Isnin, 19 Disember telah terhempas kira-kira 27 kilometer dari penempatan Tiksi,” kata seorang penguatkuasa undang-undang kepada TASS.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia berkata, kesemua penumpang dan anak kapal selamat dalam kejadian tersebut dan 16 orang tercedera, menurut agensi berita, RIA Novosti.

“Seramai 16 orang tercedera dan mereka telah dibawa ke hospital di Tiksi oleh helikopter mencari dan menyelamat,” menurut RIA Novosti yang memetik kenyataan kementerian itu,

“Menurut laporan di tempat kejadian, pesawat tersebut terhempas hari ini pada pukul 4.45 pagi waktu tempatan, 30 kilometer dari Lapangan Terbang Tiksi. Pesawat tersebut melakukan penerbangan berjadual dari Lapangan Terbang Kansk,” tambah kementerian itu.

Pesawat tersebut dilaporkan pecah kepada tiga bahagian tetapi tiada letupan dilaporkan. – RT