Reaksi warga Rohingya sambil menunjukkan poster kekejaman yang di lakukan oleh tentera Myanmar ketika hadir pada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Kelantangan suara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membawa isu Rohingya akhirnya menampakkan hasil kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Menurut Musa, tindakan Najib yang jarang-jarang sekali dilihat bersuara mengenai isu antarabangsa itu mengambil satu keputusan tepat apabila meminta kerajaan Myanmar melihat semula kekejaman yang telah dilakukan oleh junta tenteranya terhadap etnik Rohingya di Rakhine.

“Isu Rohingya adalah satu isu yang sudah terlalu lama dan dunia sedang melakukan jenayah apabila membiarkan isu ini berlarutan.

Manusia yang tiada kerakyatan dan dianggap sebagai manusia yang tidak wujud. Ini satu kekejaman dan tidak boleh dibiarkan cuma isu ini jangan dipolitikkan. Jangan ada pihak gunakan isu ini sebagai isu politik.

Kini, Myanmar sudah memanggil menteri-menteri luar Asean untuk mengadakan mesyuarat tertutup.

Walaupun saya tidak tahu apa cara untuk menyelesaikan isu ini tetapi apa yang saya nampak, Myanmar kini sudah bersedia untuk berbincang mengenai hal ini, begitu juga Asean.

Sebelum ini, ASEAN tidak pernah menyentuh langsung mengenai isu-isu dalaman negara anggota,” katanya semasa sidang media selepas majlis resensi buku beliau, Frankly Speaking di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dekat sini hari ini.

Semalam, Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman ketika berucap di mesyuarat Asean di Yangon meminta negara-negara di rantau ini serta Asean untuk menyelaras bantuan kemanusian serta menyiasat pihak bertanggung jawab ke atas kekejaman terhadap etnik Rohingya.

Mesyuarat khas itu dianjurkan oleh pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi selepas terdapat banyak laporan mengenai kezaliman junta tentera Myanmar membunuh dan merogol etnik Rohingya dalam tragedi yang dikatakan sebagai pembersihan etnik.

Malaysia sendiri pada awal bulan lalu telah mengadakan Himpunan Aman Solidariti Rohingya yang diketuai Perdana Menteri sendiri.

Najib meskipun diberi amaran oleh kerajaan Myanmar untuk tidak mencampuri urusan domestik negara tersebut, tetap meneruskan agenda untuk membela etnik Rohingya.- MalaysiaGazette