Justo Pardon

BANGKOK – Bekas kakitangan Petrosaudi International, Andre Xavier Justo akan pulang ke tanah airnya Switzerland selepas dibebaskan dari penjara semalam.

Pegawai di pusat tahanan imigresen iaitu tempat dia ditahan selepas dibebaskan dari Penjara Reman Bangkok pada tengah hari semalam, mengesahkan tiket penerbangan Justo sudah disediakan.

“Ya, tiket penerbangan dia dibeli dan dia dijadual meninggalkan Thailand lewat malam ini,” kata pegawai itu yang enggan memberikan  butiran lanjut mengenai penerbangan Justo.

Semalam, pegawai itu yang enggan dikenali berikutan sensitiviti maklumat yang diberikannya itu, berkata warganegara Switzerland itu masih ditahan di pusat tahanan imigresen dengan ditemani beberapa pegawai daripada Kedutaan Switzerland di Bangkok.

Katanya Justo akan dihantar ke lapangan terbang kira-kira 3 jam sebelum menaiki penerbangannya.

Semalam, bekas eksekutif IT Petrosaudi itu dibebaskan dari Penjara Reman Bangkok, tempat dia menjalani hukuman penjara 3 tahun, menurut peguam belanya.

Worasit Piriyawiboon memberitahu Bernama Justo dibawa ke pusat tahanan Jabatan Imigresen untuk urusan dokumen perjalanan sebelum menaiki penerbangan untuk pulang ke tanah airnya.

Justo tiba bersendirian di perkarangan jabatan itu pada kira-kira 11.50 pagi (waktu tempatan) dengan menaiki sebuah van dengan dikawal rapi oleh beberapa anggota komando bersenjata.

Ketika didekati dan ditanya oleh kalangan wartawan yang menunggu, warganegara Switzerland itu yang dilihat tenang, berkata dia berharap untuk berlepas pulang dengan penerbangan ke tanah airnya malam ini selepas menjalani hukuman penjara lebih setahun daripada jumlah hukuman penjara 3 tahun itu.

“Amat gembira, saya berharap untuk menaiki penerbangan pada malam ini dan tiba di tanah air saya esok,” katanya yang memakai pakaian preman iaitu kemeja T putih dan seluar panjang biru gelap.

Hukuman penjara 3 tahun Justo dipendekkan selepas dia diberikan 2 Pengampunan diraja, pertamanya oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada Ogos dan baru-baru ini oleh Raja Maha Chakri Bodindradevarangkun yang baru menaiki takhta.

Pengampunan diraja yang diterimanya daripada mendiang Ring Bhumibol membolehkan Justo memendekkan satu pertiga daripada tempoh hukuman penjaranya, manakala yang diperkenankan oleh Raja King Maha Chakri melayakkannya untuk dibebaskan lebih awal.

Warga Switzerland itu didapati bersalah oleh mahkamah Thailand pada Ogos tahun lalu selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya.

Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok yang membuat keputusan itu memerintahkan Justo menjalani hukuman penjara itu dari 22 Jun tahun lepas, tarikh dia ditahan oleh pihak berkuasa Thailand di pulau Koh Samui, selatan Thailand.

-BERNAMA