Mohamad Hassan
SEREMBAN – Badan gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini disaran memilih presiden yang boleh membawa perubahan kepada masa depan bola sepak negara.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, presiden yang dipilih kelak selain boleh memimpin, hendaklah seseorang yang mampu menjiwai sukan bola sepak negara.

Mohamad secara halus menolak cadangan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa agar dirinya (Mohamad) dipilih sebagai presiden FAM.

“Tahun depan keutaman saya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.

“Biarlah badan gabungan berunding siapa yang difikirkan sesuai.

“Saya yakin akan ada orang yang sesuai yang boleh dipilih badan induk FAM, demi masa depan bola sepak negara,” kata beliau.

“Kita nak pilih pemimpin yang boleh membawa perubahan dan memperbaiki keadaan… besar tugasnya (memimpin persatuan) bola sepak ini dan ia merupakan sukan rakyat,” kata beliau.

Menteri Besar itu bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sijil Penyiapan Pematuhan (CCC) Projek Pembangunan Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Datuk Selamat Paigo.

Sementara itu, Menara MAINS yang dibina di kawasan strategik Taman Tasik Seremban dengan kos RM63.1 juta itu, dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tahun hadapan, sebaik sahaja kerja-kerja ubahsuai siap dan bangunan tersebut telah dimasuki penyewa.

“Bangunan ini akan menempatkan ibu pejabat MAINS dan agensi-agensi di bawahnya termasuk Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti dan Pusat Zakat Negeri.

“Kawasan selebihnya disewakan kepada pihak luar dan salah satu anchor tenant ialah Bank Islam. Buat masa ini, hanya tinggal separuh tingkat sahaja yang belum disewakan,” kata Mohamad.

Mohamad berkata menara 18 tingkat dengan keluasan 320,000 kaki persegi ini akan menjadi satu lagi mercu tanda di Seremban yang dapat menarik pelancong.

Bangunan ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang pejabat, solat, niaga dan letak kereta, kata Mohamad.

Beliau berkata, pembinaan Menara MAINS itu tidak langsung menggunakan wang zakat, sebaliknya kos itu ditampung melalui sumber am iaitu perniagaan oleh MAINS dan sebahagiannya dari pinjaman Bank Islam.

— BERNAMA