Konsert Wings 30 tahun 'Live' @ Kota Kinabalu selepas tarikh konsert bertembung dengan sambutan malam hari Krismas.

Konsert Wings 30 tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas Sabtu ini ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Ketua Pengarah K4MI Mutiara Global Sdn. Bhd., Datuk Sharulnizad Suboh berkata, keputusan itu dibuat selepas tarikh konsert bertembung dengan sambutan malam hari Krismas.

“Kami memohon maaf atas penundaan konsert ini yang dijadualkan pada Sabtu selepas tarikh yang dipilih bertembung dengan perayaan Hari Krismas pada esoknya (25 Disember).

“Selain itu, penundaan konsert ini juga adalah atas permintaan orang awam yang menyatakan keinginan untuk hadir namun tidak kesampaian disebabkan bertembung dengan perayaan Krismas,” katanya pada sidang media semalam.

Sharulnizad berkata, pihaknya turut berasa sedih untuk mengumumkan penangguhan konsert namun bertanggungjawab untuk tidak menghampakan peminat Wings di Sabah.

“Semua tiket konsert yang sudah dibeli akan dikembalikan sepenuhnya dan orang ramai yang sudah membeli boleh menghubungi talian 016-8839769,” katanya. – MalaysiaGazette