Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar bercakap semasa pengumuman pengagihan pendapatan ASB dan ASN di Menara PNB, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 DISEMBER 2016

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 6.75 sen seunit dan 0.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini masih kompetitif  dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Tan Sri Abdul Wahid Omar menjelaskan  PNB merupakan pengurus dana unit saham amanah terbesar di Malaysia dengan dana yang diuruskan berjumlah RM260 billion iaitu RM220 billion dana unit saham amanah dan RM40 billion dana PNB sendiri (proprietary fund).

Daripada RM220 billion tersebut, ASB merupakan sekim unit saham amanah terbesar dengan jumlah unit sebanyak 144 billion.

Pengerusi PNB itu menambah sebanyak 68.5 peratus daripada jumlah dana ASB tersebut dilaburkan dalam saham syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia (equities), 2.6 peratus lagi dalam sekuriti hutang (fixed income instruments) dan 28.9 peratus dalam wang tunai (cash & cash equivalents).

Pelaburan-pelaburan saham utama termasuklah Sime Darby, Maybank (yang memiliki Maybank Islamic, institusi perbankan Islam terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di dunia), UMW, Tenaga Nasional, TM, Axiata, Maxis, Digi & Petronas Chemicals.

Tambah beliau, ketidaktentuan ekonomi dunia dan penyederhanaan pertumbuhan ekonomi negara serta penurunan harga minyak & komoditi telah menyebabkan pasaran saham mengalami pulangan (Total Shareholder Returns) yang negatif sejak 3 tahun kebelakangan ini.

“Untuk tahun 2016 terkini, indeks FBM KLCI telah mencatatkan penurunan 4.7 peratu . Setelah mengambil kira pendapatan dari dividen, ianya masih memberikan pulangan negatif 1.7 peratus . Kadar faedah semasa juga adalah rendah dengan KLIBOR pada tahap 3.3 peratus setahun.

“Dengan keadaan sedemikian, sudah tentunya pulangan pelaburan ASB menjadi lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Malah pulangan 6.75 Sen seunit atau 6.75 peratus ditambah dengan bonus 0.5 sen seunit boleh dikatakan amat kompetitif berbanding penanda aras prestasi pasaran saham yang negatif 1.7 peratus dan kadar faedah KLIBOR 3.3 setahun setahun,” katanya kepada Alumni Ansara.

Jumlah agihan pendapatan ASB pada 2016 adalah paling rendah dalam sejarah sejak tahun 1990. Pada tahun lalu, PNB mengagihkan 7.25 sen sesaham dan bonus 0.50 sen sesaham.

Untuk memastikan PNB dapat terus memberikan pulangan yang kompetitif dan mapan untuk tahun-tahun yang akan datang, PNB akan berusaha melaksanakan pelan strategik PNB 2017-2022 yang telah diumumkan pada 24 November yang lalu.

Antara lain, ia termasuk mengoptimumkan peruntukan aset strategik  dan meningkatkan prestasi syarikat-syarikat milik PNB.

“Saya, Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden PNB), barisan pengurusan dan seluruh warga PNB berjanji untuk membuat yang terbaik untuk PNB, para pelabur dan negara. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette