Ahmad Hazwan Bakri - fotoBERNAMA

PETALING JAYA – Dua gelaran yang dimenangi pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 malam tadi, menambah selera penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri untuk memburu lebih banyak kejayaan.

Bekas pengempur berbisa Selangor yang memenangi Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai itu, bertekad menambah koleksi gelaran apabila menyarung jersi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim depan.

“Saya sebenarnya tidak menyangka dapat menang pada malam ini. Pengiktirafan ini menambah semangat untuk saya terus memburu kejayaan bersama pasukan baharu saya nanti serta skuad kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Ahmad Hazwan, 25, yang berasal dari Labuan, Sabah juga berterima kasih kepada peminat dan jurulatih yang memilihnya untuk memenangi kedua-dua anugerah itu.

Berkongsi pandangan sama adalah penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang berterima kasih kepada peminat bola sepak yang terus memberi sokongan kepadanya.
Penjaga gol Kelantan itu memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik untuk kali kelima selepas memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

“Syukur Alhamdulillah saya ucapkan di atas kejayaan pada hari ini dan saya ingin berterima kasih kepada pengurusan serta peminat pasukan Kelantan yang sentiasa menyokong saya selama ini.

“Trofi kemenangan ini menjadi pemangkin untuk saya memburu kejayaan bersama pasukan saya pada musim depan,” katanya. – BERNAMA