Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Malis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan resolusi menentang penempatan haram Israel di Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia bersama tiga negara lain iaitu New Zealand, Senegal dan Venezuela setuju untuk campur tangan dan membentangkan draf resolusi menuntut Israel menghentikan penempatan haram mereka.

“Alhamdulillah, berkat kekuasaan dan rahmat Allah SWT jua, meskipun pada mulanya berdepan cabaran apabila Mesir menarik balik cadangan draf resolusi mereka, nasib rakyat Palestin tetap akan terbela,” katanya dalam laman blog beliau hari ini.

Menurut Najib, kita perlu melihat keputusan ini bukan sahaja daripada aspek agama, sebaliknya ia juga menandakan sokongan padu komuniti antarabangsa menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan rejim Zionis melalui penempatan haram mereka.

Tambah Perdana Menteri, ia merupakan tamparan hebat buat Israel dan kemenangan buat rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.

Katanya, kelulusan resolusi itu juga akan menjadi batu loncatan kepada usaha Malaysia mewujudkan bumi Palestin yang aman dan merdeka. – MalaysiaGazette