DUA kategori barangan yang tertakluk kepada peraturan baharu yang sudah diwartakan itu ialah makanan dan minuman serta barangan isi rumah.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan mekanisme antipencatutan yang baharu mulai 1 Januari 2017.

Berdasarkan surat yang dihantarkan kepada peniaga dan diperoleh Sinchew Daily, kementerian itu akan melaksanakan dua cara pengiraan iaitu peratusan margin dan peratusan mark-up untuk mengenal pasti peniaga yang mencatut.

Mekanisme yang bakal dikuat kuasa itu adalah berlainan dengan kaedah perhitungan sedia ada.

Mekanisme baharu dilaporkan mengambil kira peratusan mark-up iaitu perbezaan antara modal dengan keuntungan.

Margin peratusan pula adalah perbezaan antara harga jualan dan keuntungan.

Dua kategori barangan yang tertakluk kepada peraturan baharu yang sudah diwartakan itu ialah makanan dan minuman serta barangan isi rumah.

Barangan isi rumah dirujuk sebagai barang yang tidak tahan lama dan produk penjagaan diri yang tidak termasuk kosmetik.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada peraturan antipencatutan akan dilanjutkan selepas tamatnya 2016.

Beliau bagaimanapun memberitahu, mekanisme antipencatutan yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pihak tertentu sebelum ini berpendapat mekanisme antipencatutan yang dilaksanakan selepas pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu dihentikan bagi membolehkan harga bergerak mengikut pasaran.