BR1M: Fahami keperluan kami

Oleh KAMARUL ANUAR NASIR

KUALA LUMPUR – Mungkin ada yang beranggapan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah sia-sia atau tidak perlu. Namun bagi golongan yang memerlukan bantuan yang diberi kerajaan ini sangat bermanfaat.

Rata-rata penerima bantuan ini menyifatkan BR1M telah banyak membantu meringankan beban kewangan mereka, terutamanya tatkala keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini.

Bagi Akmar, ibu kepada tiga orang anak, BR1M banyak membantunya dalam membuat persediaan untuk anak-anak kembali ke sekolah.

Akmar meminta kepada mana-mana pihak yang berpendapat BR1M tidak seharusnya diberikan lagi supaya memahami tekanan kehidupan bagi golongan yang sangat memerlukan.

“Masih ada orang yang tak cukup pendapatan bulanannya. Kalau yang gaji RM1,000, kemudian dah potong-potong, masuk OT (kerja lebih masa) berapa saja dapat?” soal Akmar seorang suri rumah.

“Tak semestinya semua orang bergaji besar. Masih ada yang bergaji bawah RM2000 hingga RM3000,” tambah Akmar.

Bagi Nor Rosni pula pemberian BR1M mampu meringankan bebanan kewangannya.

Dia yang berpendapatan sederhana memberitahu, wang BR1M yang diterima bukan sahaja digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anaknya.

Wang yang diterimanya biarpun bagi sesetengah orang sikit jumlahnya tetapi bagi Nor Rosni bantuan itu membolehkannya membeli keperluan harian seperti barang basah di pasar.

Bagi Mohd Zain, bantuan BR1M yang diterima sangat membantu kehidupannya sekeluarga.

“Kerajaan bagi kepada layak. Sudah tapis semua dah jadi bantuan ini bagus untuk membantu rakyat,” ujar Zain.

Tambah Zain, dengan BR1M juga dia dapat membantu persekolahan anaknya yang bakal dibuka kelak.

Dalam pada itu, Mohd Zain berharap agar jumlah bantuan yang diberikan ditambah memandangkan harga barangan yang semakin mahal sejak kebelakangan ini. — MalaysiaGazette