TOKYO – Harga minyak sedikit berubah pada hari ini menjelang cuti pra-tahun baru dengan pasaran mengambil ‘sikap tunggu dan lihat’ berhubung perjanjian mengurangkan bekalan minyak yang dipersetujui antara OPEC dan bukan OPEC.

Minyak mentah Brent untuk penghantaran Februari jatuh sebanyak AS$0.01 kepada AS$55.15 setong pada 0335 GMT (22:35 ET) selepas naik sebanyak AS$0.11 pada hari Jumaat.

Pasaran minyak ditutup pada hari Isnin selepas Hari Krismas pada hujung minggu.

NYMEX mentah untuk penghantaran Februari naik AS$0.10 kepada AS$53.12 setong, selepas penutupan pada paras tertinggi 17 bulan pada hari Jumaat lalu.

Perjanjian itu bermula 1 Januari ini dengan OPEC dan bukan OPEC akan mengurangkan hampir 1.8 juta tong sehari dalam usaha mengurangkan bekalan dan menaikkan harga emas hitam itu.

“Perjanjian pengurangan semakin hampir untuk dilaksanakan tetapi disebabkan tidak ada berita oleh pengeluar, pasaran dibelenggu dengan situasi itu,” kata Tomomichi Akuta, Ekonomis Kanan Mitsubishi UFJ Research and Consulting di Tokyo.

Walaupun ahli-ahli OPEC utama yang diketuai oleh Arab Saudi, akan mengurangkan pengeluaran, Libya dan Nigeria – dikecualikan kerana konflik bersenjata telah menjejaskan pengeluaran mereka – telah meningkatkan pengeluaran baru-baru ini, kata Akuta.

Libya telah meningkatkan pengeluaran kira-kira 22,000 tong sehari selepas paip utama telah dibuka semula dan ia boleh menambah 270,000 tong sehari dalam tempoh tiga bulan, kata National Oil Corporation.

“Ini menimbulkan kebimbangan bahawa walaupun pengeluaran cuba diselaraskan namun, pasaran tidak dapat mengehadkannya,” kata Akuta.

Jabatan Tenaga menjangka untuk memulakan jualan kira-kira 8 juta tong minyak mentah dari rizab minyak kecemasan di negara ini pada awal hingga pertengahan Januari, menurut notis dilihat oleh Reuters pada hari Jumaat.

Sementara eksport minyak Rusia akan meningkat sebanyak hampir 5.0 peratus tahun ini kepada 253.500.000 tan dan kenaikan sedikit pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Tenaga, Kirill Molodtsov kelmarin.

Russia adalah antara-bukan OPEC negara yang mendaftar untuk perjanjian itu.

Di China, stok minyak mentah akhir November jatuh 1.55 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 29.89 tan metrik selepas pengeluaran domestik menyusut dan permintaan pada musim sejuk meningkat, menurut data daripada agensi berita Xinhua. – MalaysiaGazette