Mohamad Hassan

SEREMBAN – Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri tidak mahu membebankan rakyat Negeri Sembilan dengan kempen tanpa beg plastik dalam urusan membeli-belah.

Beliau berkata sebaliknya, kerajaan negeri mengambil pendekatan mendidik rakyat mengamalkan kitar semula supaya alam sekitar dapat terus dijaga dan dipelihara.

“Kalau kita tak pakai plastik, orang kena bayar (untuk dapatkan plastik), jadi, ini membebankan rakyat.

“Apa yang kita buat di Negeri Sembilan ialah kita tidak mahu menambahkan lagi beban rakyat dan kita mahu mendidik rakyat mengenai kitar semula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat mengikut jejak Kerajaan Selangor yang mengharamkan penggunaan beg plastik dan polisterin dalam urusan membeli-belah mulai tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata dengan pelaksanaan dasar atau kempen tanpa beg plastik, ia akan membuka ruang dan peluang kepada pihak lain untuk membuat keuntungan.

“Kerana dasar yang dibuat oleh kerajaan, pemilik pasar raya, pemilik perniagaan boleh buat duit dengan plastik beg yang sepatutnya diberi secara percuma. Terpulanglah, saya tidak akan ikut (cara) itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan keamanan sepanjang 2017.

“Harapan saya pada 2017, kita kekalkan keamanan kita. Dengan keamanan yang kita kecapi ini, ia akan dapat diteruskan lebih lama lagi.

“…kerana peperangan dan kacau bilau yang berlaku di negara luar tidak mustahil berlaku jika kita tidak mengambil berat terhadap negara kita,” katanya.

— BERNAMA