Sebuah pesawat A‏irbus, A380-800 milik Malaysia Airlines yang berlepas dari Madinah menuju ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Mumbai, India berikutan masalah sistem pemindahan bahan bakar.

Penerbangan sewa khas, MH8205, yang membawa jemaah umrah itu berlepas dari Madinah pada pukul 8.49 malam semalam waktu tempatan dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi ini.

Menurut syarikat penerbangan itu, walaupun masalah teknikal itu tidak mencetuskan sebarang isu keselamatan namun juruterbang mengambil keputusan untuk mendarat di Mumbai sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pesawat tersebut selamat mendarat di Mumbai dan kini jurutera tempatan sedang melakukan penilaian (terhadap pesawat itu),” katanya.

Pada minggu lalu, pesawat A380-800 Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow, London ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal pada salah sebuah pintunya.

Pesawat berbadan besar itu menghadapi masalah tersebut ketika berada di ruang udara Jerman.

Malaysia Airlines berkata, keselamatan penumpang merupakan keutamaan syarikat dan ia akan melakukan yang terbaik ketika penumpangnya berada di Mumbai.

Penerbangan MH8205 dijadualkan berlepas dari Mumbai pada pukul 9.08 pagi waktu tempatan dan tiba di KLIA pada pukul 4.10 petang – MalaysiaGazette