LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn.Bhd. memperkenalkan operasi tren generasi baharu empat gerabak di Laluan Kelana Jaya hari ini

Tren berkenaan adalah antara 14 unit tren KLAV (Kuala Lumpur Additional Vehicle) model Bombardier Innovia Metro 300 yang diperoleh pada harga RM577 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd, Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, dua buah tren generasi baharu itu telah digunakan pada Disember ini manakala dua buah tren lagi akan digunakan pada bulan depan.

Manakala baki tren itu akan digunakan secara berperingkat sehingga kesemua 14 kenderaan itu beroperasi pada pertengahan 2017.

Zohari berkata, Rapid KL akan mempunyai 49 buah tren berikutan pertambahan itu dan ia akan meningkatkan kapasiti memandangkan kini faktor muatannya mencecah 150 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Ir Zohari Sulaiman memberikan penjelasan mengenai ciri terbaru tingkap keselamatan yang merupakan aspek tambahan dan pembaharuan yang terdapat pada Tren Generasi Baru RapidKL yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV) pada sesi Operasi Hari Pertama Tren Generasi Baru RapidKL Laluan Kelana Jaya di Ara Damansara. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 29 DISEMBER 2016.

“Faktor muatan ini sudah tentu tidak begitu selesa kepada penumpang, dengan adanya gerabak baharu ia akan meningkatkan keselesaan kepada penumpang.

“Ketika ini kami membawa 190,000 hingga 260,000 orang sehari di laluan Kelana Jaya dan menjangkakan membawa 300,000 orang sehari,” katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan tren generasi baharu di Stesen LRT Ampang Park, Jalan Ampang di sini.

Katanya, pertambahan tren itu adalah selaras dengan hasrat Rapid KL menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan pilihan utama.

Tambah beliau, tren generasi baharu itu mengekalkan sistem tanpa pemandu, reka bentuk moden, menarik dan senyap selain dilengkapi dengan paparan laluan elektronik dinamik dan mudah difahami penumpang.

Pemandangan dari luar Tren Generasi Baru RapidKL yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Additional Vehicle (KLAV) pada sesi Operasi Hari Pertama Tren Generasi Baru RapidKL Laluan Kelana Jaya di Ara Damansara. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 29 DISEMBER 2016.

Tren itu turut dilengkapi dengan skrin paparan maklumat kemaskini Rapid KL atau Infotainment dan ruang khas untuk penumpang Orang Kurang Upaya.

Empat biji kamera litar tertutup (CCTV) ditempatkan di setiap gerabak untuk menjamin keselamatan penumpang selain memperkenalkan tingkap pengudaraan kecemasan yang lebih efektif dan penggunaan lampu LED yang mesra alam dan cekap tenaga, tambah beliau.

“Kemudahan ruang tempat duduk selesa dan ruang kosong bawah kerusi membolehkan beg kecil penumpang disimpan di situ.

“Malah lebih penting pertambahan tren ini juga memudahkan kita menjalankan penyelenggaraan, memudahkan kita membuat susulan jadual perjalanan semula selain masalah teknikal seperti kerosakan kerap atau terhenti di separuh perjalanan dapat diatasi.

“Selain itu kita juga akan mengurangkan waktu menunggu tren daripada 3.5 minit kepada 3 minit sahaja apabila tren mencukupi menjelang pertengahan Jun 2017 nanti,” ujarnya. — MalaysiaGazette