Legenda lagu-lagu Asli

KUALA LUMPUR – Kelunakan suara yang dipersembahkan penyanyi Tan Sri SM Salim saat mengalun lagu-lagu berentak tradisional khususnya Melayu asli tidak boleh dinafikan sama sekali.

Patah lagu yang yang keluar dari mulutnya cukup sempurna di halwa telinga pendengar. Sedap bunyi lenggoknya.

Siapa yang tidak gemarkan lagu Apa Dah Jadi, Pandang-Pandang, Jeling-Jeling dan Satu, juga lagu-lagu Tak Seindah Wajah, Dulu Lain Sekarang Lain dan Pasir Roboh.

Turut ada yang masih jatuh cinta dengan lagu-lagu malar segar dendangan S.M. Salim termasuk Cik Siti Lelila Mayang, Bunga Tanjung, Joget Kasih Bermula dan Mohon Kasih.

Tidak ketinggalan lagu-lagu popularnya yang lain seperti Cempaka Sari, Cinta Dulu Cinta Sekarang, Kalau Ku Tahu, Joget Jambu Merah, Siti Payung dan Selamat Tinggal Bungaku.

SM Salim juga pernah berduet dengan Datuk M.Nasir, Datuk Sheila Majid dan Datuk Zainal Abidin selain bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu popular mereka, Pandang Pandang, Jeling Jeling.

Hari ini, segala pengorbanan dan kesabaran menghidupkan lagu-lagu berirama tradisional kini sudah berbalas.

Setelah lebih setengah abad mengabdikan diri sebagai penyanyi menerusi lagu-lagu tradisional, SM Salim boleh berbangga kerana penat lelahnya sudah membuahkan hasil.

Irama kebanggaan warisan itu masih terus hidup dan subur di jiwa khalayak termasuk sebahagian besar anak-anak remaja ketika ini.

Malah SM Salim telah mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Pemilik nama sebenarnya, Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros ini merupakan seniman kedua bergelar Tan Sri selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Beliau dianugerahkan pingat Darjah Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena harijadi baginda ke-75 pada 2 Jun 2001.

SM Salim turut dianugerahkan pingat Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) oleh Sultan Selangor dan Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Kehormat (DPMT) dari Sultan Terengganu. Kedua-duanya membawa gelaran Datuk.

Pada 1991, sumbangan beliau terus iktiraf sebagai Tokoh Seni oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Anugerah Seri Wirama di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 1997.

Bapa kepada tujuh anak itu diberikan Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berdasarkan sumbangan beliau yang memperjuangkan lagu-lagu asli Melayu.

Mengimbau kerjaya seninya, beliau menganggotai kumpulan Irama Melayu (pimpinan Awalaudin) sebelum menyertai Orkestra Puspati (diketuai mendiang Alfonso Soliano) pada tahun 50an.

Pada masa sama, SM Salim bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara sambilan semenjak tahun 1957.

P. Ramlee adalah antara orang yang banyak mempengaruhi kerjayanya sebagai anak seni manakala penyanyi bersuara emas, Datuk Yusni Hamid pula adalah orang yang kerap berduet dengannya.

Malah mungkin ramai kalangan peminat tidak tahu bahawa selain menyanyi SM Salim juga pemain badminton yang handal.

Tepat pukul 5.44 petang, Khamis selepas berpuluh-puluh dekad lelaki ini menyanyi dan menghiburkan para peminat dan penggemar lagu-lagu Melayu klasik dan tradisional di seluruh pelosok tanah air, beliau kembali bertemu pencipta-Nya.

Penyanyi legenda itu menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tua di kala usia 88 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Aishah Abdul Ghani, 72. Sepanjang berkongsi hidup selama 52 tahun, pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.

Hari ini kita bukan saja kehilangannya malah sangat terhutang kepadanya. Bukan sahaja seorang penyanyi yang hebat, malah baik budi dan bersih kontroversi sepanjang bergelar anak seni. — MalaysiaGazette