Hamad Kama Piah Che Othman

KUALA LUMPUR – Baru tiga bulan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Nor mengesahkan telah meninggalkan parti itu.

Beliau sebelum itu keluar dari UMNO untuk mengikuti jejak bekas Timbalan Presiden UMNO yang kini merupakan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan itu memaklumkan beliau telah menghantar surat pengundurannya seminggu lalu.

“Ya, betul,” kata Ezam seperti yang dipetik dari Malaysiakini ketika diminta mengesahkan perkara itu hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan sumber yang memaklumkan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah memaklumkan pendiriannya kepada setiausaha agung PPBM melalui sepucuk surat.

Ezam menjadi ahli kedua berbuat demikian selepas bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada 27 Oktober lalu.

Laporan sumber itu mendakwa Ezam kecewa dengan arah tuju parti itu, terutamanya selepas isu berkaitan jawatan Anina Saadudin dalam sayap Srikandi.

Sumber itu turut mendedahkan tindakan Ezam mempersoalkan Muhyiddin yang didakwa “bercuti di Eropah” ketika pembangkang berhempas pulas menarik anggota baru.

Ezam bagaimanapun menjelaskan bahawa laporan itu tidak tepat dan tidak timbul sama sekali soal masalah dalaman parti.