Home Ekonomi PNB, ASNB umum lembaga pengarah baru

PNB, ASNB umum lembaga pengarah baru

Abdul Wahid Omar (kiri) bersama Abdul Rahman Ahmad (kanan) antara muka baru lembaga pengarah baharu PNB dan ASNB.

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Zarinah Anwar, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Datuk Dr. Mohd Yaakub Johari dan Soedirman Aini sebagai Ahli Lembaga Pengarah PNB yang baharu.

Pelantikan adalah bagi menggantikan ahli lembaga pengarah yang terdahulu terdiri daripada Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohammed Bujang Mohammed Nor, Tan Sri Datuk Asmat Kamaluddin dan Tan Sri Datuk Seri Ainum Mohamed Saaid, yang telah bersara pada 31 Disember 2016.

PNB turut mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani dan Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang baharu.

Pelantikan adalah bagi menggantikan ahli lembaga pengarah sebelumnya iaitu Tan Sri Datuk Md. Desa Pachi, Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dan Tan Sri Datuk Seri Ainum Mohamed Saaid, yang turut bersara pada 31 Disember 2016.

“Saya dengan sukacitanya mengalu-alukan pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah baharu. Pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, kewangan dan pelaburan akan memberi sumbangan besar ke arah kejayaan berterusan PNB, yang mana asasnya telah pun diperkukuhkan oleh Ahli Lembaga Pengarah PNB dan ASNB yang terdahulu.

“Saya yakin kehadiran mereka akan merangsang PNB dalam mencapai wawasan kami untuk menjadi sebuah Syarikat Pelaburan Distinktif Bertaraf Dunia,” kata Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan PNB.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan PNB serta ASNB, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah yang terdahulu dan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan Kumpulan PNB yang membanggakan sehingga kini.

“Setiap seorang daripada mereka telahpun berkhidmat dengan Kumpulan PNB lebih dari 10 tahun. Tanpa pengorbanan dan kebijaksanaan mereka selama ini, PNB tidak akan berada pada kedudukan yang teguh seperti hari ini. Terima kasih yang tidak terhingga bagi pihak PNB dan juga 12.8 juta pemegang unit saham amanah kami,” katanya di sini.

Dengan pelantikan baharu ini, Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB terdiri daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Kumpulan PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB), Tan Sri Dr. Ali Hamsa (Ketua Setiausaha Negara), Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Zarinah Anwar, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Datuk Dr. Mohd Yaakub Haji Johari dan Soedirman Aini.

Sementara itu, Ahli-ahli Lembaga Pengarah ASNB pula terdiri daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Kumpulan PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad (Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB), Mohammad Hussin (Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB), Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood.

Pelantikan baharu ini berkuat kuasa sebaik sahaja selesai pemprosesan segala dokumen berkanun yang berkenaan. – MalaysiaGazette