Teh Chi Cheun.

PETALING JAYA – Sebuah syarikat pengurusan pelaburan OCBC Group, Pacific Mutual Fund Berhad mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM18.6 juta kepada pelabur dana-dananya.

Ia melibatkan dana Pacific AsiaPac Income Fund, Pacific Dividend Fund, Pacific Cash Fund, Pacific Islamic Cash Fund, Pacific Emerging Market Bond Fund dan Pacific Cash Deposit Fund.

Pacific Mutual Fund Berhad diketuai ketua pegawai eksekutif & pengarah eksekutifnya, Teh Chi Cheun menganggap agihan pendapatan itu satu petanda baik kepada permulaan tahun 2017.

“Usaha yang gigih dan kepintaran perniagaan daripada kedua-dua pihak pengurusan dan kakitangan diperlukan agar sesebuah syarikat boleh bertahan 25 tahun dalam industri ini. Peluang yang ada perlu dikenalpasti dengan pantas dan direbut.

“Selain itu, kami juga sangat berterima kasih kepada semua pelabur kami yang telah menyokong dan mempercayai kami selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chi Cheun, sebagai pengurus dana yang bertanggungjawab, pihaknya tidak mendedahkan pelabur mereka kepada risiko yang boleh dielakkan.

“Ini merupakan salah satu sebab ramai pelabur kekal melabur dengan Pacific Mutual sejak tahun pertama ia mula beroperasi di Malaysia sejak 23 tahun lalu,” katanya.

Sepanjang kehadiran lebih dua dekad di Malaysia, Pacific Mutual telah menerajui banyak kejayaan ulung dalam industri unit amanah.

Syarikatnya, kata Chi Cheun merupakan salah satu syarikat pengurusan unit amanah pertama yang mengurus dana global melalui pasukan pelaburan dalaman yang beroperasi di Malaysia.

Untuk memastikan syarikatnya menjejaki suku abad kedua di Malaysia dengan asas yang kukuh, Pacific Mutual menyasar menggandakan jumlah aset di bawah pengurusan kepada hampir RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.-MalaysiaGazette