A view of the exterior of the JP Morgan Chase & Co. corporate headquarters in New York City May 20, 2015. REUTERS/Mike Segar/Files

Indonesia memberi hukuman kepada JPMorgan Chase & Co selepas sayap penyelidikan bank pelaburan itu mencadangkan pendedahan lebih kecil kepada bon kerajaan republik tersebut.

“Selepas melakukan semakan secara komprehensif, kami merasakan tiada gunanya kami meneruskan perkhidmatan JPMorgan sebagai pengedar utama bon dan sebuah bank persepsi,” kata ketua pejabat dasar fiskal kementerian, Suahasil Nazara kepada Reuters.

Menurut Nazara, penalti ke atas JPMorgan itu sudah pun dikuatkuasakan.

Keputusan diambil selepas JPMorgan mengeluarkan nota pada bulan November yang menurunkan taraf bon Indonesia kepada underweight berbanding overweight sebelum ini.

Menurut pegawai tersebut, analisis bank berkenaan tidak masuk akal kerana ia memberi cadangan neutral kepada Brazil, satu kedudukan yang lebih baik daripada penarafan kepada Indonesia meskipun negara tersebut mempunyai situasi politik yang lebih stabil di antara negara-negara Asia Tenggara.

“Kami telah meminta mereka untuk memberi penjelasan terhadap pernilaian tersebut.

“Mereka telah pun membuat penjelasan tetapi kami mendapati hujah mereka sukar untuk dipercayai.

“Bukanlah kami fikir yang kami terlalu bagus tetapi kami melihat diri kami sendiri dan dalam masa sama turut memandang ekonomi negara lain,” kata Nazara lagi.

Tambah beliau, prinsip yang dipegang oleh Indonesia adalah ‘jika anda mahu melakukan perniagaan di sini, anda mesti mempunyai semangat untuk mengekalkan kestabilan. Jangan cuba untuk mencetuskan ketidaktentuan kepada perniagaan.”

Dalam pada itu, jurucakap JPMorgan berkata, ia tetap meneruskan operasi di Indonesia seperti biasa.

“Impak kepada pelanggan kami sangat minimum dan kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk menyelesaikan perkara ini,” jawapnya dalam satu e mel.

Dalam satu nota bertarikh 13 November, JPMorgan menurunkan taraf pasaran-pasaran membangun termasuk Indonesia dan Brazil dengan menyatakan risiko premium lebih tinggi bagi tukaran hutang tidak berbayar selepas Donald Trump memenangi pilihanraya presiden.- MalaysiaGazette