Datuk Seri Nancy Shukri
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mencadangkan agar had umur pemandu bas ekspres dikaji semula bagi mengelak berlaku kemalangan maut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke persidangan Makmal Bas yang akan ditubuhkan bulan depan.

“Ketika ini ramai pemandu terdiri daripada mereka yang pencen dan berumur. Ini agak sukar bagi mereka untuk memandu perjalanan jauh.

“Kita akan berbincang dengan pelbagai badan berkepentingan yang terlibat dengan Makmal Bas bagi melatih pemandu bas muda,” katanya kepada pemberita semasa melawat galeri Sewing World di Sky Park One City di sini hari ini.

Katanya cadangan itu adalah susulan dakwaan orang ramai bahawa terdapat syarikat bas yang menggajikan pemandu yang telah berusia.

Semalam Nancy dalam satu kenyataan berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan Makmal Bas bagi memberi tumpuan terhadap peningkatan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri berkenaan.

Menurutnya perkara itu akan dibincangkan secara teliti bagi membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan muda bagi mendapatkan lesen memandu bas.

“Kita tahu lesen memandu bas agak mahal, maka kita harap perkara ini dapat dipertimbang bagi membantu golongan tersebut menjadi pemandu bas pada usia muda,” katanya.

Beliau berkata antara pihak berkepentingan yang akan terlibat dalam persidangan makmal tersebut adalah Jabatan Pengangkutan Jalan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

Antara aspek lain yang akan diteliti adalah model perniagaan, pendekatan teknologi, dasar, syarat pelesenan dan peningkatan mutu terminal, selain cara menangani kekurangan serta usaha untuk memperbaiki kebajikan pemandu.

Katanya kesemua perkara tersebut perlu dibincangkan dan akan dibawa ke kabinet bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti langkah terbaik memastikan keselamatan penumpang.

Mengulas lanjut, Nancy berkata persidangan makmal juga akan membincangkan mengenai kadar tambang yang ketika ini dikawal kerajaan.

— BERNAMA