Noh Omar

SUBANG JAYA- Kerajaan Selangor punya peraturan, kerajaan persekutuan kena marah.

Itu komen Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mengenai peraturan baharu di Selangor yang mewajibkan plastik dibeli pada harga 20 sen kepada orang ramai di pusat beli belah.

“Peraturan larangan penggunaan plastik tidak ada kaitan dengan KPKT. Saya dapat banyak panggilan dan SMS depa menyalahkan kerajaan Persekutuan..(mereka kata) kerajaan tidak ada duit sangat ke, Datuk Seri Najib (Razak) tidak duit sangat sampai plastik pun kena caj.

“Penguatkuasaan caj plastik ini (dibuat) kuasa kerajaan negeri tidak rujuk pada kita pun. Kata tidak boleh pakai plastik tapi jual plastik, jual 20 sen..siapa dapat 20 sen itu?” kata Noh ketika ditemui selepas melawat Pangsapuri Sri Nipah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas peraturan baharu kerajaan Selangor yang mengenakan caj 20 sen kepada orang ramai yang mahu menggunakan plastik ketika membeli-belah baru-baru ini.

Sambil menganggap peraturan yang dibuat itu sebagai kong kali kong, Noh hairan kenapa kerajaan Selangor menguatkuasakannya peraturan yang menyusahkan rakyat.

“Kata hendak free (bebas) plastik tidak payah jual, ini rakyat kena bayar 20 sen. Bayar kepada siapa? Ini undang-undang kong kali kong. Hendak buat undang-undang, buat betul-betul jangan susahkan rakyat.

“Yang untung siapa? Majlis (perbandaran) ke kedai yang untung?,” ujarnya.-MalaysiaGazette