NOTED: GAMBAR FAREEZ

SHAH ALAM – Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamed mengakui beliau sudah tua dan berusia lebih 90 tahun.

Bagaimanapun, katanya, demi untuk menyelamatkan bangsa Melayu dan negara, beliau gunakan kudratnya yang telah tua dan lesu itu untuk sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada rakyat, yang beliau dakwa semakin tenat.

“Saya akui saya sudah tua, sudah berusia lebih 90 tahun. Ada yang cakap, dalam keadaan sekarang, saya tentunya lemah tubuh badan, seorang pelupa, nyanyuk dan patut duduk diam sahaja.

“Biarlah depa nak kata (tuduh) apa pun pada saya. Mungkin mereka tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka sebab mereka begitu asyik…,” katanya disambut tepukan gemuruh ribuan ahli dan penyokong yang hadir.

Beliau berkata demikian berucap melancarkan PPBM di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.

Turut hadir, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Dr. Mahathir, kata-katanya bahawa ‘Melayu Mudah Lupa’ ketika beliau berucap pada Perhimpunan Agung UMNO suatu ketika dahulu turut dilontar semula kepadanya oleh pemimpin UMNO.

“Tidak mengapa. Melayu memang lemah dan mudah lupa, tetapi kesedaran itu lebih penting,” katanya.

Sepanjang ucapannya, beliau mengulangi beberapa isu yang diperkatakan sebelum ini terutama berkaitan dengan ‘salah laku’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut menzahirkan kebimbangannya dengan nasib Melayu jika keadaan itu dibiarkan berterusan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika menyampaikan ucapan aluan berkata, beliau yakin parti itu dengan kerjasama parti komponen Pakatan Harapan (PH) dapat menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pemimpin kanan PH termasuk Pas pada majlis pelancaran itu. – MalaysiaGazette