Jamil Khir Baharom

PELABUHAN KLANG – Majlis pelepasan misi pelayaran Food Flotilla For Myanmar di Bousteard Cruise Centre, Pulau Indah di sini hari ini mencuri tumpuan apabila dua pemimpin UMNO dan Pas saling melengkapi antara satu sama lain.

Ini kerana, sebelum ke lokasi majlis perlepasan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Raza bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, barisan menteri kabinet lain, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan menunaikan solat Jumaat diikuti solat hajat di Masjid Nur Amin.

Apa yang menarik, kedua-dua solat itu diimamkan oleh Tuan Ibrahim manakala Jamil khir membaca khutbah Jumaat.

Malah khemah-khemah di kawasan majlis turut menarik perhatian apabila dihiasi kain berwarna biru yang diselang-seli bersama kain berwarna hijau.

Ketua misi Food Flotilla For Myanmar yang diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sempat memaklumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya hadir pada majlis itu.

“Namun saya menerima panggilan telefon petang semalam bahawa Tuan Guru tidak sihat dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Apa pun, yang cantiknya, yang manisnya kita ada penggemblengan tenaga antara hijau dan biru. Yang paling nyata dan nampak jelas, khemah kita biru dan hijau.

“Paling indah hari Jumaat yang barakoh ini, khutbah dibaca oleh wakil parti UMNO dan solat Jumaat dan solat hajat diimamkan oleh parti Pas. Ini adalah satu petanda yang baik dan tepukan gemuruh untuk kedua-dua pemimpin ini yang telah mencetuskan idea.

“Kita juga mendoakan Tuan Guru Abdul Hadi akan cepat sembuh seperti sedia kala,” katanya ketika berucap.

Sementara itu, Jamil Khir dalam khutbah menyentuh isu kezaliman, penganiayaan dan pencabulan sesebuah kaum atau bangsa, bukanlah perkara yang baru tetapi telah lama terjadi.

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan adanya rasa takut atau tidak suka dengan pengaruh daripada kaum tersebut.

“Begitulah halnya yang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya di Myanmar sehingga ada sahaja di kalangan mereka yang diseksa dan dibunuh, seolah-olah satu misi penghapusan kaum Rohingya sedang berlaku.

“Golongan Rohingya ini telah cukup terhina apabila dilabel sebagai golongan pelarian dan tanpa negeri oleh sesetengah pertubuhan antarabangsa dan tempatan.

“Tidak cukup dengan itu, kesengsaraan mereka ditambah pula dengan penafian kerakyatan mereka oleh pihak berkuasanya sendiri.

“Akhirnya, mereka terpaksa bermigrasi dari kawasan tempat tinggal mereka di Arakan menuju ke beberapa negara seperti Bangladesh, Arab, Thailand termasuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette