Dong Zong
KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) Vincent Lau menyatakan kesediaan menerima pelajar sekolah Cina swasta menduduki subjek Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat pengiktirafan kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
UEC merupakan peperiksaan yang diadakan oleh Dong Zong di sekolah-sekolah swasta Cina.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya sedang menguruskan isu teknikal berhubung pengiktirafan UEC.
Sin Woon juga menyatakan harapan supaya Kabinet dapat berbincang mengenai pengiktirafan UEC secepat mungkin.
Vincent memberitahu China Press, beliau telah menyatakan kepada Kementerian Pendidikan beberapa bulan lalu mengenai kesediaan penerimaan Bahasa Melayu SPM sebagai syarat untuk kerajaan mengiktiraf UEC.
Menurutnya, beberapa perkara mengenai pengiktirafan UEC bagaimanapun masih perlu ditelitikan.
“Kami berharap kerajaan hanya mewajibkan pelajar sekolah swasta Cina menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu dalam SPM dan bukannya semua subjek,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyatakan harapan untuk bertemu Dong Zong mengenai isu UEC. – MalaysiaGazette