Home Dunia Pengundi Jakarta pilih gabenor baru hari ini

Pengundi Jakarta pilih gabenor baru hari ini

Agus Yudhoyono (berdiri kiri) dan Ahok (berdiri kanan). Foto Agensi

JAKARTA – Lebih daripada 7 juta penduduk di ibu negara Indonesia akan mula mengundi bagi memilih gabenor yang baru selepas melalui kempen yang sukar.

Pilihan raya itu dianggap sebagai ujian terhadap toleransi etnik dan agama di sebuah negara yang memiliki umat Islam paling ramai.

Kira-kira 13,000 pusat pengundi akan dibuka pada pukul 7 pagi (waktu Indonesia) dan ditutup pada pukul 1 tengah hari.

Seramai 27,000 orang anggota keselamatan akan ditempatkan di seluruh Jakarta sepanjang pilihan raya itu diadakan.

Pilihan raya itu menyaksikan penyandang gabenor, Basuki Tjahaja Purnama, seorang Cina Kristian yang lebih dikenali sebagai Ahok berhadapan dengan dua pencabarnya, Agus Yudhoyono, bekas tentera dan anak kepada bekas presiden Sosilo Bambang Yudhoyono serta Anies Baswedan, bekas menteri budaya dan pendidikan.

Ahok sebelum ini menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan menghina al-Quran. – MalaysiaGazette