Nasuruddin Daud

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud mendakwa terpaksa menolak jemputan sebuah agensi kerajaan negeri menunaikan umrah semata-mata menunggu tarikh debat dengan Datuk Husam Musa.

Beliau menolak jemputan itu kerana Husam telah memberi tarikh yang hampir dekat jadual rombongan bertolak ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, katanya, Husam telah menghantar surat meminta tarikh yang dinyatakan itu ditangguhkan ke suatu masa lain dengan alasan mahu merujuk surat lafaz baiah kepada Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardawi terlebih dahulu.

“(Selama) tiga bulan, dari November 2016 hingga Januari lalu, saya tunggu jawapan Husam untuk berdebat tapi tidak ada jawapan. Sedangkan, saya sudah tolak jemputan rombongan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam ke Mekah.

“Saya bimbang, jika saya pergi ke Mekah dan tiba-tiba Husam setuju berdebat pada tarikh saya tidak ada di tanah air, saya akan dituduh macam-macam. Saya wakilkan dua anak ke sana (Mekah) kerana saya ada urusan (debat) dengan Husam.

“Saya tak pergi ke Mekah kerana tipu helah Husam yang banyak berdolak dalih,” katanya pada ceramah politik di Kota Bharu, malam kelmarin.

Beliau mengulas tindakan Husam ‘mengganggu’ majlis ceramahnya yang bertajuk Husam Lari Dari Debat Baiah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Isnin.

Menurut Nasuruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, cukup tiga bulan beliau menghabiskan masa melayan kerenah Husam dan kali ini tidak akan berbuat perkara sedemikian lagi.

“Cukup dah, tiga bulan dah saya beri masa, sehingga jemputan ke Mekah pun saya batalkan,” katanya yang turut membaca surat Husam berkaitan debat yang dihantar kepadanya.

Antara surat itu ialah Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor meminta beliau mengesah dan memperbetulkan terjemahan teks lafaz baiah yang ditulisnya dalam bahasa Arab dan teks itu akan dirujuk kepada Dr. Yusuf.

Bagaimanapun, Nasuruddin yang juga ADUN Meranti membalas surat itu dengan mengatakan, beliau hairan dan terkejut dengan tindakan Husam untuk mendapatkan fatwa dari Dr. Yusuf berkaitan lafaz baiah itu.

“Saya jawab, saya kata, YB Datuk (Husam) yang cabar saya berdebat dalam isu baiah ini, tanpa ada kena mengena dengan pihak lain termasuk Sheikh Yusuf Qardhawi.

“Lagi pun, teks baiah yang hendak didebatkan telah sedia ada dan jelas. Ia ditulis dalam bahasa Melayu dan telah dibaca oleh Husam dan saya di hadapan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pada masa itu Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan.

“Jadi, kenapa kita perlu ubah kepada bahasa lain (tulis teks dalam bahasa Arab) dan melibatkan orang lain (Dr. Yusuf) sedangkan kita memahami maksud dan isi kandungan baiah yang telah sama-sama kita lafazkan,” katanya.

Dengan sikap berdolak dalik itu, beliau beranggapan Husam cuba untuk melambatkan atau menggagalkan majlis debat dari menjadi kenyataan.

“Tiba-tiba dia datang mengganggu majlis saya (di pekarangan stadium) dan minta untuk berucap. Majlis itu adalah program ceramah bukan program debat.

“Kita ajak berdebat, dia beri macam-macam alasan, tapi majlis ceramah kita dia datang ganggu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan