KUALA LUMPUR – Datuk Saidin Tamby yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Paya Jaras meninggal dunia di Hospital Selayang ketika sedang menerima rawatan.

Allahyarham yang berusia 81 tahun menerima rawatan di hospital itu akibat di serang angin ahmar dan disahkan meninggal dunia pukul 9.45 pagi tadi.

Selain angin ahmar, Allahyarham turut mengalami masalah komplikasi darah tinggi dan kencing manis.

Sumber keluarga memberitahu, jenazah dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Selayang Pandang, Batu Caves dekat sini, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda selepas solat Asar petang ini.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Maimunah Shafie dan empat anak, Mohd Marwan, Mahizun, Mayzion dan Maznun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menerusi akaun Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Sy menerima khabar mendukacitakan pagi ini Dato Saidin Tamby mantan Adun BN dan Exco telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Selayang. Salam takziah kpd ahli keluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dikalangan mereka yg beriman,” tulisnya. – MalaysiaGazette