Home Nasional Belum dapat notis harga beras naik

Belum dapat notis harga beras naik

KUALA LUMPUR – Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) tidak tahu menahu akan berlaku kenaikan harga beras kerana tidak dimaklumkan oleh Beras Padi Nasional Berhad (Bernas) mahu pun Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pengerusinya, Ismail Awang berkata, jika benar spekulasi kenaikan harga beras itu betul, pihak-pihak berkenaan perlu memaklumkan lebih awal.

“Memang ada dengar tetapi tidak ada pengesahan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas kenaikan harga semua beras import antara lima hingga tujuh peratus berkuat kuasa bulan depan.

Kenaikan itu didorong oleh ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan pengusaha menaikkan harga beras import bagi mengimbangi kos operasi, selain ringgit yang lemah.

Bagaimanapun, beliau mengakui harga beras basmathi dari India semakin meningkat dan bekalan pula semakin berkurangan di pasaran.

Kekurangan bekalan itu membabitkan beras basmathi Pusa 1121 atau Cream/Sela.

“Kami difaham pengurangan bekalan itu disebabkan kekurangan bekalan di India. Ia menyebabkan bekalan semakin merosot.

“Faktor itu menyebabkan para penjual mengambil kesempatan menaikkan harga beras berkenaan.

“Tambahan pula permintaan untuk beras ini memang banyak, disebabkan kualiti dan sedap dimakan,” ujarnya.

Ismail berkata, pada harga semasa harga beras basmathi ialah RM8.30 sekilogram.

Mengulas mengenai kenaikan harga beras, beliau kenaikan harga beras itu kemungkinan akan semua jenis beras memandangkan Malaysia mengimport 60 peratus beras.

Bekalan beras daripada dalam negara hanya 40 peratus sahaja.

Harga beras sekarang dibeli oleh pemborong dari Bernas RM2,600 bagi setiap tan dan jika harga ini dinaikkan tidak mungkin harga pasaran semasa dapat dikekalkan.

“Buat masa ini sukar hendak ramal kenaikan, jadi kena tunggu pengumuman atau notis daripada Bernas atau kementerian,” ujar beliau. – MalaysiaGazette