Laporan polis itu ditarik balik oleh pengadunya yang merupakan pengarah pemasaran syarikat

KUALA LUMPUR – Laporan polis terhadap seorang pemilik yayasan yang merupakan pemimpin kanan UMNO ditarik balik oleh pengadunya.

Pengadu berkenaan yang juga pengarah pemasaran sebuah syarikat menarik semula laporan itu yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Kenyataan itu kita tarik balik, artikel itu kita tarik balik. Saya buat laporan polis baru. Tarik balik semua dan segalanya selesai,” katanya lapor sebuah laman portal petang tadi.

Sebelum ini, pengarah pemasaran itu mendakwa yayasan milik seorang pemimpin kanan UMNO melakukan penyelewengan dana RM2.7 juta yang diperoleh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau mendakwa segala perselisihan faham antara pihaknya dan yayasan milik pemimpin kanan UMNO terbabit dapat diselesaikan dengan cara baik.

Beliau juga berharap agar isu syarikatnya dengan yayasan itu tidak lagi timbul.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan melibatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

SPRM juga akan bekerjasama dengan SKMM bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan tersebut.-MalaysiaGazette