Kim Jong-nam

SEOUL – Berita mengenai pembunuhan abang tiri pempimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Malaysia mula tersebar dari mulut-ke mulut di Pyongyang, kata pemimpin kumpulan warga Korea Utara yang berpaling tadah di sini hari ini.

“Warga Pyongyang berasa marah apabila khabar angin pembunuhan Jong-nam sampai kepada mereka menerusi pegawai Korea Utara yang bekerja di luar negara,” kata Ketua Penyatuan Intelektual Korea Utara (NKIS), Kim Heung-kwang di Seoul, lapor agensi berita, Yonhap.

Para pegawai NKIS meneliti maklum balas mengenai pembunuhan tersebut berdasarkan perbualan telefon dengan kenalan mereka berkunjung ke Beijing atas urusan perniagaan awal minggu ini.

Penduduk Pyongyang yang berusia 50an hingga 60 an mengenali Jong-nam yang satu ketika dahulu dijangka mewarisi kuasa walaupun mereka tidak mengetahui mengenai adik pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-chol.

“Mereka berpendapat pembunuhan cucu sulung pengasas Korea Utara, Kim Il-sung dan anak sulung Kim Jong-il adalah perkara yang tidak mungkin berlaku,” katanya.

Penduduk Korea Utara berpendapat Jang Song-thaek layak dikenakan hukuman mati kerana menjadi seorang penentang apabila beliau dihukum bunuh oleh anak saudaranya, Jong-un pada 2013.

“Tetapi pada kali ini mereka marah di atas pembunuhan yang dilakukan Kim Jong-un terhadap abangnya sendiri,” katanya.

Seorang warga Korea Utara yang berpaling tadah dan pernah bekerja dalam Kabinet Korea Utara berkata, setiap penduduk di Pyongyang mengetahui mengenai pembunuhan itu kurang daripada 10 hari selepas ia berlaku.

Comments are closed.