Arsene Wenger

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berdepan tindakan disiplin daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kerana mengkritik pengadil Liga Juara-juara Eropah.

Dalam perlawanan timbal balik pusingan kalah mati awal pagi semalam, Arsenal dimalukan 1-5 (aggregat 2-10) oleh Bayern Munich.

Ia merupakan kekalahan terburuk Arsenal di halaman sendiri di dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad the Gunners menamatkan kempen Eropah.

Wenger yang tidak berpuas hati dengan pengadil dari Greece, Anastosios Sidiropoulos dan bertindak mengkritik keputusannya semasa perlawanan di atas padang.

Anastasios Sidiropoulos
Anastasios Sidiropoulos

UEFA kini dilaporkan menunggu laporan Anastosios sebelum menentukan sama ada mengambil tindakan ke atas Wenger.

Wenger mengecam pengadil kerana the Gunners dinafikan sepakan penalti sebelum Laurent Koscielny dilayangkan kad merah dan dibuang padang.

“Kad Merah dan penalti dua kejutan yang berat sebelah. itu tindakan tidak bertanggungjawab daripada pengadil. Ia menyebabkan saya marah dan kecewa.

“Apabila kamu melihat kepentingan perlawanan itu, dan melihat sikap sebegitu mengecewakan, menyebabkan saya memberontak.

“Saya rasa sedih dengan orang yang membayar tiket mahal dan menyaksikan perlawanan sedemikian rupa,” bidasnya.

Walaupn kemarahan wenger adalah patut, tetapi UEFA menganggap ia sebagai kritikan terhadap pengurusan perlawanan itu.

Badan itu difahamkan tidak berpuas hati dengan sikap Wenger yang mempersoalkan karakter dan integriti Sidiropoulos.

Laporan perlawanan daripada pengurus perlawanan kebiasaannya dihantar sehari selepas perlawanan dan UEFA sedang menunggu laporan daripada pengadil itu mengenai kritikan Wenger.

Jika laporan tersebut menyentuh mengenai kritikan itu, Jawatankuasa Disiplin UEFA akan membuka prosiding ke atas pengurus the Gunners yang berdepan kritikan penyokong kelab sendiri.

Bayern Munich juga bakal dihukum UEFA kerana penyokong yang membaling objek di atas padang.

 

Keputusan siasatan kedua-dua kelab berkenaan dijangka diumumkan pada 23 Mac ini.

Jika disabit kesalahan, Wenger akan berdepan penggantungan dan denda berat. – MalaysiaGazette