Fasha Sandha

KUALA LUMPUR – Ketika aktres popular ini dilihat sedang menyulam bahagia dengan kehidupannya sebagai ibu tunggal kepada sepasang anak, tiba-tiba Fasha Sandha meluahkan isi yang terpendam.

Melalui perkongsian Fasha di laman sosial Instagram miliknya, Fasha, 32, mendedahkan dia mendapat seribu panggilan telefon tidak berjawab, selain mesej dan rakaman suara yang dikatakan ‘mengganggu’ kehidupan peribadinya.

Walaupun tidak mendedahkan nama individu berkenaan, luahan itu seperti ditujukan kepada mereka yang pernah rapat dengan dirinya.

“Tetapi mungkin malam ini (semalam), saya buat untuk kebaikan saya dan keluarga saya.

“Dulu orang mengherdik saya, mencaci hina saya, tanpa usul periksa. Saya tidak boleh membuka mulut untuk membela diri saya dan keluarga.

“Orang tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Berapa kali saya melarikan diri dan menjauhkan diri daripada dia supaya saya tidak bersama dengan dia. Saya tahu betapa bencinya keluarga dia kepada saya. Ditambah pula dengan ‘hasutan’ orang yang lama.

“Apa pun, (dengan) takdir Allah kami bersama. Masa telah berlalu, ia tidak berkekalan di atas ‘sebab-sebab tertentu’. Saya yakin, anda boleh fikir sendiri apakah sebabnya,” tulis Fasha.

pix fasha2

Tidak habis dengan pendedahan itu saja, nampaknya perkara tersebut mungkin akan berlanjutan apabila Fasha menyatakan bahawa dia akan membuka satu persatu kisah yang tidak diketahui orang ramai, hari demi hari.

Tidak tahan dengan privasinya yang diganggu itu juga, bagai ada bayangan bahawa pelakon itu akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dengan pelbagai bukti lain lagi, kata Fasha memberi amaran.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 40, pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Jejai pula sebelum itu pernah berkahwin dengan aktres, Nora Danish, 34, pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 10 Julai 2008 dan mereka dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 9. – MalaysiaGazette