KUALA LUMPUR – Kesediaan Pas untuk mengadakan rundingan pengagihan kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebenarnya merujuk kepada persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama yang berlangsung pada 2 Februari lalu.

Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, dalam mesyuarat tersebut PPBM dan Pas telah bersetuju mengadakan perbincangan susulan mengenainya.

Katanya, PPBM turut mengambil maklum mengenai keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 17 Februari 2017 bahawa parti itu bersedia untuk meneruskan rundingan dengan PPBM.

“Seperti mana yang dilaporkan oleh media, Jawatankuasa Perundingan Pas Pusat telah diwujudkan untuk meneliti pemuafakatan dengan PPBM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob menafikan parti tersebut bersetuju untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PPBM.

Dr. Shahruddin berkata, PPBM sentiasa menyambut baik sebarang usaha untuk mewujudkan persefahaman dan pemuafakatan antara parti-parti pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Perundingan kerusi antara parti-parti pembangkang adalah satu proses yang penting untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional dapat dicapai, justeru, kesediaan mana-mana parti pembangkang untuk berunding dialu-alukan. – MalaysiaGazette