Majlis perkahwinan kecoh diganggu penyokong Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Seorang wanita mendakwa majlis perkahwinan anak sulongnya yang berlangsung hari ini terganggu ekoran kehadiran ramai penyokong Ahli Parlimem Seputeh, Teresa Kok.

Menerusi rakaman video yang tular di laman sosial wanita itu berkata, mereka datang berkumpul kerana mahu membuat bantahah terhadap projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, berlaku sedikit kekecohan kerana jumlah kehadiran penyokong ahli Parlimen DAP itu telah menyebabkan tetamu jemputan berasa ketakutan.

“Bukan kami hendak mengacau tetapi mereka yang datang mengganggu majlis kami. Pihak kami memang rasa tidak selesa kerana ia mengganggu kami.

“Jadi kami tadi memohon beliau untuk bersurai. Kami bukan hendak mencabar dia tetapi kami cuma nak mereka jangan ganggu majlis kami,” katanya.

Bagaimanapun, tidak ada maklumat lengkap disertakan dalam video tersebut berhubung lokasi majlis perkahwinan itu diadakan.

Sementara itu, usaha MalaysiaGazette menghubungi Kok bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu gagal setakat ini.

Pada Khamis lepas Kok menimbulkan kejutan apabila mengaku ada menerima dana dibawah Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disalurkan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Beliau sebelum ini menafikan ada menerima wang tersebut selepas Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menuduh beliau menerima dana daripada YAWAS. – MalaysiaGazette