Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyindir Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari sebagai produk ‘kaki kelab malam’ hasil didikan DAP selepas tular video menyerupainya sedang menari dan berpelukan dengan seorang wanita dalam media sosial baru-baru ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas itu meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan Zairil yang menyuruh parti Islam itu menjadi tabligh sahaja dan tidak terbabit dalam politik lagi.

“Dalam Pas memang sudah ada kegiatan menyucikan diri dan mengukuhkan kerohanian seperti yang dilakukan oleh jamaah tabligh.

“Pas memang mementingkan usaha seperti itu supaya pimpinan politik yang dilahirkan oleh Pas tidak kaki kelab malam, berpeleseran dengan wanita bukan mahram dan lain-lain,” beliau dipetik berkata.

Zuhdi juga menasihati Zairil selaku seorang Muslim dan berbangsa Melayu wajar mencontohi perjuangan Pas agar mempunyai akhlak lebih tinggi.

“Pemimpin yang berakhlak tinggi dan berintegriti sebenarnya lahir dari kegiatan penyucian diri dan pengukuhan kerohanian seperti yang ada dalam Pas serta jamaah tabligh.

“Dengan menawarkan pimpinan seperti ini, Pas yakin rakyat Malaysia akan menolak pimpinan politik sekular dan chauvinis seperti yang dilahirkan oleh DAP,” katanya.

Terdahulu Zairil dalam penulisannya mempersoalkan haluan perjuangan Pas yang kini lebih mementingkan perjuangan agama berbanding meraih sokongan politik dan menuduh Pas lari daripada perjuangan arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas. – MalaysiaGazette