KUALA LUMPUR – Filem J Revolusi terus menggegar pawagam dengan kadar pungutan tiket melepasi RM5 juta sejak ditayangkan 2 Mac lalu.

Pengurus Besar Inovasi dan Edaran, Primeworks Distributions Sdn Bhd, Marini Ramlan berkata, pihaknya amat gembira dengan pencapaian filem J Revolusi yang memasuki minggu ketiga tayangan di 106 pawagam.

“Lebih membanggakan, kutipan tayangan sudah melepasi aras RM5 juta. Filem ini sudah ditonton lebih 385,000 penonton.

“Dengan cuti sekolah yang baru bermula ini, kami berharap rakyat Malaysia akan ke pawagam untuk menonton filem aksi yang mengetengahkan skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi kebanggaan negara iaitu Unit Tindakan Khas (UTK).

“Selain padat dengan aksi pertempuran, J Revolusi turut mengetengahkan nilai kekeluargaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Marini berkata, filem J Revolusi yang ditayangkan di Singapura sejak 10 Mac lalu turut mendapat sambutan luar biasa.

“Ini menarik minat pawagam Rex Cinema untuk menambah lokasi tayangan J Revolusi di McKenzie Road bagi memenuhi permintaan penonton,” katanya. – MalaysiaGazette