TUn Dr Mahathir Mohamad bersama Lim Kit Siang.

KUALA LUMPUR – Permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai Pakatan Harapan diterima secara rasmi oleh gabungan pembangang itu selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat hari ini.

Gabungan pembangkang bermesyuarat di bangunan Parlimen dengan dihadiri pemimpin PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), bagaimanapun tidak kelihatan wakil PPBM yang hadir semasa mesyuarat itu.

“Sekretariat Pakatan Harapan akan mengutus surat kepada PPBM untuk memaklumkan perkara tersebut,” menurut kenyataan yang ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAN Mohamad Sabu.

Mesyuarat tersebut memutuskan untuk mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai gabungan rasmi, di samping merangka manifesto bersama dan juga mewujudkan logo baharu bagi menghadapi pilihan raya umum nanti.

Sebelum ini timbul teka-teki sama ada PPBM akan menyertai Pakatan Harapan atau pun memilih untuk bersama gabungan pembangkang dengan Pas.

Bagaimanapun, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memuktamadkan tiada lagi rundingan dengan PPBM selepas penaungnya, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk bersama Pakatan dan tidak bersama gabungan, Gagasan Sejahtera yang diterajui parti Islam itu. – MalaysiaGazette