Debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Karangkraf dibatalkan.

KUALA LUMPUR – Walaupun debatnya dengan Datuk Seri Nazri Aziz tidak dibenarkan oleh polis namun Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap pergi ke Kuala Kangsar pada 25 Mac ini dan meneruskan program ceramahnya di sana.

Pada tarikh yang sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan berceramah di Jalan Kota Lama Kiri bermula pukul 8 malam, menurut entri terkini di Facebook PPBM.

“Debat tidak dapat kelulusan oleh polis, jangan lupa orang Padang Rengas dan Parlimen Kuala Kangsar turun ke lokasi ceramah ini pada malam Sabtu,” tulis entri berkenaan.

Antara kepimpinan PPBM yang akan hadir dalam ceramah yang sama ialah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Malah ceramah berkenaan akan turut dihadiri Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman.

Polis semalam menolak permohonan penganjur bagi debat terbuka antara Dr Mahathir Mohamad dan Nazri Abdul Aziz yang dijadual Sabtu ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan membuat pengumuman berkenaan berkata permohonan tersebut ditolak setelah mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai.

Sudah pasti ceramah itu menjadi alternatif kepada PPBM selain debat yang dirancang dan sudah pasti inti utama ceramah mereka berkisar mengenai debat yang dibatalkan itu selain menyerang karekter Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas.-MalaysiaGazette

 

Tinggalkan Jawapan