FGV
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad menafikan wujud rundingan kerjasama dengan jutawan Syed Mokhtar Albukhary bagi memulihkan kedudukan kewangan syarikat berkenaan.

Zakaria tidak mengetahui ada sebarang rundingan antara FGV dengan entiti dikaitkan dengan Syed Mokhtar seperti didakwa sambil menyifatkannya hanya khabar angin.

“Saya tidak pernah bincang dengan Treadwind, saya tidak tahu dan ini sekadar khabar angin,” kata Zakaria semasa ditemui selepas majlis perasmian logo baharu SAJI, jenama utama minyak masa yang dikeluarkan anak syarikatnya, Delima Oil Products (DOP).

Terdahulu dilaporkan Tradewinds Group, syarikat perladangan terbesar di rantau ini yang dikuasai oleh Syed Mokhtar dikhabarkan sedang berbincang dengan FGV untuk membeli kepentinga syarikat yang ada kaitan dengan FELDA itu.

Berhubung rundingan dengan China, Zakaria mengesahkan mereka sedang berunding dengan beberapa syarikat dari negara berkenaan bagi mewujudkan kerjasama meluaskan rangkaian pengagihan dan kemudahan kewangan.

“China adalah antara beberapa pilihan, malah sekarang ini kami juga sudah memiliki pejabat di China.

“Kami sasarkan rundingan selesai tahun ini, tapi ini semua bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah,” katanya.

Selain China, Zakaria juga memberitahu wujud juga perbincangan dengan firma lain dari India dan Pakistan.

Usaha mencari rakan kongsi timbul semula selepas rundingan FGV dengan PT Eagle High Plantations Tbk dari Indonesia tidak berjalan lancar.

FGV mencadangkan mengambilalih kepentingan 37 peratus dalam Eagle High pada harga yang jauh melebihi nilai saham syarikat itu pada pasaran terbuka.

Dalam majlis sama, logo baharu SAJI dilancarkan bersama dengan beberapa produk lain bertujuan untuk menggalakkan lagi aktiviti diperingkat hiliran.

Antara produk tersebut adala SAJI Mayo, krimer SAJI dan mi segera SAJI.

Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad yang merasmikan logo dan produk baharu tersebut berharap ia dapat menandingi minyak masak SAJI yang dikenali orang ramai khususnya di Malaysia.

“SAJI ini lebih sinonim dengan minyak masak tapi saya berharap dengan pengenalan produk baharu ini ia dapat menandingi produk minyak masak yang kita keluarkan ini,” katanya. – MalaysiaGazette.