Muhammad Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara diunjur berkembang antara 4.3 dan 4.8 peratus tahun ini dipacu oleh permintaan domestik dan sokongan daripada sektor luar, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata permintaan domestik akan kekal menjadi pemacu utama dengan sokongan daripada peningkatan eksport bersih manakala penggunaan swasta akan disokong oleh pekerjaan berterusan dan pertumbuhan pendapatan.

“Isi rumah mempunyai keupayaan dan daya tahan untuk menyokong perbelanjaan, serta, mempunyai aset kewangan mudah tunai yang mencukupi untuk membayar hutang,” katanya dalam taklimat mengenai Laporan Tahunan BNM 2016, serta Laporan Kestabilan Kewangan dan Pembayaran di ibunegara hari ini.

Muhammad berkata pelaburan swasta akan disokong oleh pelaksanaan projek-projek dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Sektor-sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang 75 peratus daripada aktiviti pelaburan swasta manakala projek-projek kualiti utama akan meningkatkan kecekapan, kapasiti produktif dan pekerjaan,” katanya.- MalaysiaGazette