Tengku Razaleigh Hamzah
Calon Presiden UMNO Tengku Razaleigh Hamzah mahu budaya politik wang dalam pemilihan parti itu dapat dihapuskan, sekali gus perwakilan dapat memilih pemimpin mereka dengan lebih jujur dan ikhlas.

GUA MUSANG – Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yakin kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu untuk mengurus kewangan negara dengan baik.

Beliau berkata negara mempunyai banyak aset bagi menampung sebarang hutang negara sedia ada dan dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Malaysia berdepan muflis adalah tidak benar.

“Kalau nak ikutkan, hutang menjadi perkara biasa bagi sesebuah negara dan Amerika Syarikat juga lebih banyak hutang daripada negara kita.

“Masalah tekanan ekonomi itu berlaku di semua negara maju, tetapi (masing-masing) ada pelan pemulihannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Jerek di sini, Sabtu.

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan kini berdepan muflis akibat tekanan ekonomi global.

Menurutnya sesebuah negara seperti Malaysia tidak mudah untuk berdepan dengan krisis seperti yang didakwa oleh pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab memastikan ia tidak akan berlaku.

Tengku Razaleigh berkata walaupun tekanan ekonomi global turut dirasai di Malaysia ketika ini namun negara berada di landasan tepat untuk memulihkannya.

“Kita yakin ekonomi akan pulih semula dalam masa terdekat ini dan begitu juga dengan nilai ringgit akan bertambah baik serta stabil,” katanya.

— BERNAMA