Satiful Bahari Mamat.

KUALA LUMPUR – Kemelut Pas dan PKR semakin panas.

Terbaharu beberapa kawasan Pas di Terengganu pula membawa usul untuk memutuskan hubungan ke muktamar yang akan diadakan hujung bulan April ini.

Perkara itu didedahkan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas negeri, Satiful Bahri Mamat selepas empat kawasan selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

“Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar Pas nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.

“Bagi Pas Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan… seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar Pas berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan,” beliau dipetik berkata selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Keempat-empat kawasan tersebut adalah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Bagaimanapun, Satiful tidak mendedahkan mengenai keputusan empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu.

Menurut Satiful, usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan usul itu pernah dikemukakan oleh Dewan Muslimat Pas pada muktamar tahun lalu.

“Bagaimanapun, usul itu tidak mendapat respons ketika itu. Namun kali ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk membawa usul tersebut,” katanya.

Ketika ditanya adakah Pas akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Satiful berkata, Pas Terengganu dijangka tidak mempunyai masalah besar dalam hal itu.

“Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam Selangor. Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan antara parti dengan parti, bukan Pas dalam kerajaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan 12 daripada 13 kawasan Pas di Pulau Pinang memutuskan membawa usul memutuskan hubungan dengan PKR. – MalaysiaGazette